Autokrasi dan Demokrasi Politik Kampus

Artikel ini adalah sebagai respon saya kepada tulisan Saudara Muhammad Shahrul Ifwat, sahabat yang saya hormati, dan sama-sama menuntut ilmu di Jordan suatu ketika dahulu. Saya merasa terpanggil untuk menulis kerana ada beberapa perkara yang perlu diperjelaskan berikutan artikelnya yang menyentuh tentang Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Jordan dan sekitar aktivisme mahasiswa luar negara.

Artikel beliau mengulas tentang surat pekeliling yang dkeluarkan oleh Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Jordan (MPPMJ) bertarikh 11 November 2011, yang tidak banyak berbeza daripada surat pekeliling bertarikh 11 November 2010. Isu yang dibawa oleh MPPMJ dalam surat tersebut adalah berkenaan pendiran MPPMJ berhubung penubuhan organisasi-organisasi yang tidak berdaftar di bawah Education Malaysia Jordan (EMJ).

Saya merasakan cadangan alasan beliau mengapa para mahasiswa perlu memfokuskan aktivisme kepada persatuan berasaskan zon dan badan kebajikan anak negeri (BKAN) adalah sebagai merendahkan mentaliti dan intelek mahasiswa di sana.

Pertamanya beliau memberi alasan tentang kepadatan masa dan waktu yang dialami mahasiswa Jordan. Dengan pelbagai kelas-kelas formal dan informal yang dihadiri, ditambah dengan bebenan peperiksaan yang kerap, juga lambakan aktiviti-aktiviti persatuan dan BKAN yang pelbagai. Beliau berhujah dengan mengatakan cukuplah dengan apa yang ada.

Saya melihat isu ini seiring perkembangan semasa mahasiswa universiti di Malaysia. Saya kira kita agak keterlaluan jika mengandaikan mahasiswa kita masih belum cukup matang untuk menilai apa yang baik buat mereka, justeru saya mengatakan bahawa kenyataan beliau merendahkan kadar intelektual mahasiswa secara tidak langsung. Konotasi yang beliau bawa tidak ubah seperti apa yang diutarakan mantan Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tan Sri Profesor Dr Ibrahim Abu Shah di mana beliau turut menggambarkan bahawa mahasiswa kita masih belum matang untuk menilai apa yang dirasakan terbaik buat mereka. Perkara ini diburukkan lagi dengan anasir-anasir luar kampus yang ‘mencucuk’ mahasiswa agar terus aktif dalam masyarakat. Beliau turut menasihatkan mahasiswa agar menumpukan sepenuhnya terhadap pelajaran, dan setelah tamat di universiti, maka tiada masalah untuk memulakan aktivisme mereka. Pandangan Tan Sri Profesor Dr Ibrahim Abu Shah ini dibidas oleh Dato’ Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia. Beliau membalas dengan mengatakan pemikiran seperti ini sudah agak usang dan susah untuk diterima oleh anak muda masa kini. Mahasiswa sebenarnya cerdik, dan tahu menilai apa yang sedang berlaku di dunia ini. Anehnya, segolongan pimpinan bersifat selektif terhadap apa yang sesuai bagi mahasiswa yang mereka kuasai. Apa yang tidak selari dengan pemikiran pimpinan tersebut, meskipun ianya suatu kebaikan dan manfaat, maka dialasankan mahasiswa perlu fokus terhadap pelajaran. Adapun yang selari dengan kehendak penguasan mereka, maka dibenarkan. Keadaan ini seolah-olah meletakkan pimpinan tersebut di suatu tahap pemikiran yang maha tinggi, dan dapat meramal masa hadapan andai mahasiswa dibiarkan membuat pemilihan apa yang terbaik buat mereka. Ironinya lagi, dengan kepadatan aktiviti dan program yang dinyatakan Saudara Muhammad Shahrul, masih ramai kelihatan mahasiswa yang lebih gemar berada di hadapan komputer, melayari dan melayani internet dan filem-filem terbaru, dan bersifat pasif terhadap aktivisme mahasiswa.

Di Malaysia, isu ini melibatkan penguatkuasaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang baru-baru ini menimbulkan polemik penafsiran terhadap akta ini. Arus mahasiswa khasnya dan masyarakat umumnya seolah-olah telah pun konsensus untuk menggubah beberapa perkara yang menyekat aktivisme mahasiswa dalam akta ini. Hujah Saudara Muhammad Shahrul bagi saya kelihatan bertentangan dengan kehendak arus perdana di Malaysia.

Saya mencadangkan supaya mahasiswa luar negara turut bersama dalam mendokong isu ini. Biarlah kita menawarkan pelbagai pilihan aktiviti yang membawa manfaat dan kebaikan buat mahasiswa, dan biarkan intelektual mereka menilai. Pertembungan kebaikan dan keburukan ini sangat sengit, dan andainya dihadkan saluran-saluran kebaikan, maka keburukan akan secara automatik menguasi pemikiran dan jatidiri mahasiswa kita, samada secara langsung atau tidak, ditambah dengan arus globalisasi yang membimbangkan.

Keduanya, beliau membawakan isu perpaduan mahasiswa sebagai hujah yang perlu dipertahankan. Saya bersetuju bahawa mahasiswa perlu bersatu-padu, tetapi sedikit berbeza pandangan dengan beliau tentang format yang dicadangkan. Beliau mengaitkan hujah ini dengan kepelbagian kumpulan-kumpulan gerakan mahasiswa (yang saya yakin semuanya menuju ke arah kebaikan) yang wujud di kalangan mereka.

Bagi saya, format yang beliau cadangkan sekali lagi merendahkan mentaliti mahasiswa. Ini kerana ianya turut menghadkan aktivisme mahasiswa, dan meletakkan kuasa memimpin masyarakat pelajar kepada suatu kumpulan elit pimpinan persatuan sahaja. Kuasa memimpin ini terlalu mahal nilaiannya untuk kita serahkan kepada orang-perseorangan atau sekumpulan kelompok tertinggi, lantas muncul apa yang dibahaskan oleh ilmuan ketika ini berkenaan konsep demokrasi. Apatah lagi kelompok yang mahu memimpin mahasiswa itu tiada beza statusnya dengan mahasiswa umum.

Saya melihat isu perpaduan boleh diselesaikan dengan format yang terbuka. Agak ketinggalan jika mahasiswa masih terperangkap dengan bentuk aktivisme yang beliau cadangkan. Munculkan segala organisasi-organisasi kebaikan, dan tawarkan apa yang anda miliki untuk kebaikan kita semua. Usahakan kerjasama-kerjasama yang dilangsungkan di atas tapak persamaan seperti isu-isu kebajikan mahasiswa dan sebagainya. Pemurnian perkara ini perlu digerakkan segera supaya mahasiswa luar negara terutamanya tidak ketinggalan dalam memacu aktivisme mereka seiring perkembangan mahasiswa dalam negara.

Muhammad Shahrul turut berkongsi pengalaman beliau melihat ramai yang terlibat dengan kumpulan-kumpulan Islam (jemaah) secara ekspres seawal pengajian mereka mengakibatkan kesan yang tidak baik di mana mereka akhirnya bertindak memburukkan kumpulan yang mereka sertai tersebut. Saya kira kes-kes seperti ini adalah berbentuk pengecualian (exception), dan bukan rules. Kita tidak boleh menafikan sejarah bahawa ramai mahasiswa yang terlibat dengan kumpulan-kumpulan ini seawal pengajian mereka di universti akhirnya menjadi pemimpin masyarakat dan negara. Bahkan pimpinan parti-parti politik dan NGO di Malaysia hari ini adalah mereka yang aktif di saat pengajian mereka di menara gading. Pemuda hari ini, pemimpin masa hadapan. Inilah ‘ketidakpedulisme’ yang cuba diselesaikan oleh beliau, tetapi beliau tampil dengan cadangan yang memburukkan lagi keadaan.

Saya sependapat dengan beliau dalam isu liberalisasi persatuan daripada pengaruh-pengaruh luar. Penubuhan persatuan yang pada asalnya berniat mengurus isu-isu kebajikan dan akademik, sudah bertukar wajah apabila ada unsur-unsur organisasi luar yang berjaya menguasainya. Kesannya, sebahagian daripada mereka menganggap bahawa persatuan inilah jemaah mereka, dan akhirnya memaksakan bahasa-bahasa ‘wala’ dan taat’ (yang berakar umbi dalam mana-mana jemaah) ke atas mahasiswa umum. Lantas, apabila kumpulan-kumpulan gerakan lain yang tidak sependapat dengan mereka cuba muncul di persada kampus, mereka dicantas dan diserang. Saya kira budaya cantas-mencantas ini tidak sihat. Saya secara peribadi tiada masalah jika mana-mana kumpulan mahu menguasai persatuan-persatuan kebajikan, selagi mana mereka tidak menghalang aktivisme mahasiswa lain. Namun, jika perkara ini berterusan, saya kira kita perlu berani dengan apa yang kita tawarkan kepada masyarakat. Muncullah dengan mengangkat panji kumpulan anda. Bersainglah secara sihat dan adil.

Dalam berinteraksi dengan isu ini, saya melihat di sana wujud salah faham di kalangan mahasiswa yang terlibat dengan gerakan-gerakan Islam ini di mana mereka memaksakan konsep ‘wala’ dan taat’ tersebut ke atas ahli-ahli umum. Saya kira ini satu pencabulan terhadap kebebasan bersuara dan berbeza pendapat yang dianugerahkan Allah untuk setiap individu. Muhammad Ahmad Ar-Rasyid, seorang pemikir ulung gerakan Islam menjelaskan dalam bukunya ‘Sinaatul Hayah’ (Mencipta Kehidupan) bagaimana gerakan Islam seharusnya berinteraksi dengan masyarakat awam apabila memimpin mereka. Budaya taat tersebut tidak sepatutnya diimplementasi terhadap masyarakat yang dipimpin, kerana itu lebih menjuruskan mereka kepada kezaliman apabila meminta ketaatan. Apa yang diperlukan pemimpin hanyalah kesetiaan (loyalty) daripada orang awam, agar wujud sikap saling hormat-menghormati di antara pemimpin dan masyarakat. Adapun membudayakan konsep al-amr wa taah (arahan dan ketaatan) dalam membina kader-kader gerakan, itu merupakan suatu kenescayaan.

Akhir sekali, tiadalah apa yang saya lakukan ini selain mengharapkan redha Allah s.w.t. Moga-moga segala usaha kita menjadi bekalan pemberat mizan di akhirat kelak. Saya harapkan agar mahasiswa terus memacu aktivisme mereka dan menjadi pemimpin masa hadapan bagi umat yang beragenda.

Syamil Salmi,

Mantan Pengerusi ISMA Jordan.

6 thoughts on “Autokrasi dan Demokrasi Politik Kampus

  1. maaf, sedikit persoalan ingin ditimbulkan…yang menganjurkan wala atau taat kepada pemimpin ini adalah Islam. Dan ianya berdasarkan dalil yang jelas. Jadi adakah taat atau wala ini yang saudara katakan ianya zalim atau ada maksud lain untuk taat yang saudara katakan? kerana saya melihat, taat kepada pemimpin itu tidaklah termsuk pencabulan kepada pembebasan bersuara. Yang menjadi masalahnya adalah taat yang membabi buta dan larangan untuk kritikan.~sekadar pertanyaan~

    • Terima kasih Saudara/i Hamba di atas komen anda.

      Benar seperti apa yang anda nyatakan bahawa Islam menganjurkan agar umatnya taat kepada pemimpin. Anjuran ini jelas termaktub dalam Surah An-Nisa ayat 59.

      Namun, apa yang saya nyatakan adalah apabila prinsip ketaatan itu dipaksakan oleh pemimpin terhadap rakyatnya. Pemaksaan itulah yang sering kali menjerumuskan pemimpin ke dalam lembah kezaliman, seperti mana yang telad dipamerkan oleh rentetab sejarah umat Islam.

      Justeru, apa yang diperlukan pemimpin daripada rakyatnya adalah suatu bentuk kesetiaan untuk bersama dan saling hormat-menghormati akan hak serta tanggungjawab pemimpin dan rakyat.

      Era negara bangsa ketika ini perlu kita bentukkan ia dengan acuan Islam, supaya tidak lagi kelihatan Islam adalah sistem pemerintahan yang autokratik, meskipun suatu ketika dahulu bentuk seperti itu diterima umum sebagai suatu yang normal.

      Harapnya menjawab persoalan Saudar/i Hamba.

      • apakah konteks “pemaksaan taat setia” yang saudara maksudkan? adakah seseorang itu akan diugut dengan ancaman keselamatan atau diugut dengan dalil-dalil yang disalah ertikan?~sekali lagi sekadar pertanyaan~

      • Contoh yang saudara berikan juga merupakan satu bentuk pemaksaan ketaatan. Lebih parah lagi jika ada pemimpin yang menggunakan agama sebagai alat untuk terus kekal berkuasa. Lihat sahaja apa yang terjadi pada barisan diktator negara-negara umat Islam.

  2. Terima kasih teman…atas pandangan yang subjektif ini..mudah-mudahan hubungan tuan dengan gerakan islam yang lain tidak menghalang perjuangan, terutama gerakan Islam di Tanah Air untuk menang dalam inthikhabat ke 13 nanti..insya’allah.

    • Sama-sama Saudara myfir. Terima kasih kerana sudi melawat blog saya yang tidak seberapa ini.

      Kita semua mengharapkan agar gerakan-gerakan islam tanah air saling bekerjasama di atas perkara-perkara yang melibatkan kepentingan bangsa dan agama.

      Adapun tentang harapan saudara agar saya ‘tidak menghalang perjuangan gerakan Islam di Tanah Air’ (mungkin saudara maksudkan PAS) terutamanya penglibatan dalam PRU-13, saya kira kita perlu lebih kritikal dalam menganalisa kemenangan parti yang kita citakan atau kemenangan umat keseluruhannya. Saya tidak berniat menghalang perjuangan PAS, cuma kita perlu memahami dimensi perubahan yang kita impikan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Connecting to %s